Kelebihan SAPS kepada ibu bapa dan guru

Dengan kelebihan teknologi jalur lebar, murid-murid tidak berdaya lagi untuk menipu markah peperiksaan dengan mengubah markah ujian mereka pada slip atau buku keputusan. Namun ia bukannya kelebihan atau tujuan utama SAPS ini diperkenalkan. Sebenarnya SAPS telah mula berfungsi lebih dari 5 tahun bagi kebanyakan ibu bapa yang baru menyedari kewujudan aplikasi online ini mulai tahun 2017. Tahun 2017 makin menampakkan populariti aplikasi SAPS sebab KPM menugaskan pihak sekolah dan guru kelas mengemaskini data murid di SAPS agar murid serta ibu bapa boleh mengetahui keputusan ujian dengan internet selepas pemarkahan siap. Aplikasi yang diwar-warkan ini telah mendatangkan beberapa kebaikan yang ketara kepada ibu bapa, guru dan murid-murid itu sendiri.

Kelebihan aplikasi SAPS kepada ibu bapa

Ibu bapa boleh mengetahui perkembangan pembelajaran murid dengan menyemak markah peperiksaan anak-anak di sekolah. Biarpun peperiksaan hanyalah salah satu cara untuk mengenalpasti akan prestasi seseorang murid, namun penelitian yang kerap terhadap markah seorang murid sememangnya suatu cara yang berkesan untuk mengetahui tingkah laku murid tersebut.

Dengan kewujudan SAPS Ibu bapa, penjaga bukan sahaja boleh membuat semakan online dengan kerap, malah mereka dapat membuat analisis dengan melihat kepada markah ujian-ujian yang lepas sepanjang tahun. Ibu bapa boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan anak-anak dengan merujuk kepada subjek-subjek yang mendapatkan markah yang rendah, lalu dapat mengenalpasti manakah subjek yang perlu diberikan tumpuan yang lebih.

Kelebihan aplikasi SAPS NKRA kepada guru

Guru kelas yang ditugaskan untuk memasukkan data diharapkan sabar dengan rutin yang katakan ‘extra work’ ini. Bagi guru-guru yang tidak begitu mahir komputer, kerja-kerja yang berkaitan dengan sistem-sistem atas talian ini mungkin akan menyebabkan ketidakselesaan. Tambahan sistem yang direka pihak kerajaan ini selalunya tidak begitu mesra pengguna.

Guru-guru perlu menyedari suatu hakikat iaitu bidang pengajaran perlu juga ada elemen inovasi, agar generasi yang lebih cemerlang dapat dilahirkan. Segala usaha yang berkaitan dengan penggunaan ICT selama ini adalah untuk menambah baik proses pengajaran. Dengan adanya sistem yang tersusun, barulah tenaga pengajar tidak akan tenggelam mengendalikan kerja-kerja menyediakan dokumen, sebaliknya boleh fokus dalam meningkatkan mutu pengajaran.

Selain kebaikan SAPS ini sebagai alat memudahkan penghantaran maklumat digital, SAPS juga membolehkan guru-guru membuat analisis peperiksaan dengan lebih berkesan. Analisis bukan sahaja boleh dibuat mengikut markah setiap subjek, malah guru boleh melihat secara menyeluruh prestasi sepanjang tahun atau prestasi sepanjang pertengahan tahun. Ini amatlah berguna bagi seorang guru subjek untuk mengetahui tahap penguasaan murid tertentu dan dapat memberikan komen yang berkesan apabila bertemu dengan ibu bapa tersebut. Tidak seperti yang dahulu, ibu bapa menghadiri hari pengambilan buku keputusan dan guru kelas hanya mengulas sepatah dua kata kepada mereka sahaja. Data dari SAPS ini mampu memberikan sesuatu secara tepat dan menyeluruh untuk mengetahui tahap pencapaian seorang murid.

Dua sistem yang disediakan oleh KPM ini perlu dihargai ibu bapa dan guru, kerana kemudahan ini membuka jalan kepada penambahbaikan kualiti pengajaran, sama ada di peringkat sekolah atau di rumah.

Be the first to comment on "Kelebihan SAPS kepada ibu bapa dan guru"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*